Isnin, 19 Mei 2008

Adakah pemuda UMNO gagal dalam melahirkan pemimpin berwibawa


Latihan Dalam Kumpulan

KUMPULAN 3

PUSAT KECEMERLANGAN PEMBANGUNAN INSAN

KEM. SEKAKAP MERSING



Nama ahli kumpulan

Ketua : Shamsudin Bin Wahab
Setiausaha : Mohd Sidik Bin Shamsudin

Ahli

Shamsudin Bin Wahab (Caw. Felda Bukit Permai)
Mohd Sidek Bin Shamsudin (Caw. Jln. Jati)
Mohd Fauzi Bin Repan (Caw. Kg. Sg. Sayong)
Samudin Bin Tobari (Caw. Sepakat Baru)
Setia Budi Bin Tosrin (Caw. Kg. Bahagia)
Mohd Hanafia Bin Ibrahim (Caw. Bandar Kulai)
Azmi Ramli (Caw. Ladang Frazer)
Mohd Azlizan (Caw. Bandar Kulai)
Anuar (Caw. Senai Kulai)
Rosnili Bin Hj. Amirel (Caw. Kg. Melayu Sedenak)
Mohad Faezal (Caw. Felda Inas)
Zulhelmy (Caw. Felda Inas)
Shah Rizal (Caw. Ladang Sedenak)
Ariff Iszuwan (Caw. Kg. Seri Rahmat)
Azmil Bin Ithnin (Caw. Kg. Seri Muar)
Idris ( Caw. Tmn Putri)
Mohd Nazri (Caw. Ladang Sedenak)

Pendahuluan

Persoalan “adakah pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin berwibawa” merupakan persoalan yang di pertanggungjawabkan kepada kumpulan tiga didalam kussus jati diri Pemuda UMNO Bahagian Kulai yang bertemakan “Memperkasa Maruah Bangsa” yang telah dijalankan di kem Sekakap Mersing pada 1, 2 dan 3hb. Mei 2008.

Kursus ini dianjurkan rentetan dari keputusan pilihanraya ke 12 yang mengejutkan. Pandangan yang terdapat didalam kerja kursus ini datangnya dari luahan hati peserta peringkat akar umbi yang terdiri dari ahli jawatankuasa pemuda bahagian, ketua pemuda cawangan ahli pemuda cawangan yang sememnagnya rapat dengan masyarakat.

Persoalan yang diutarakan bukan untuk menuding jari mencari kesalahan tetapi perlu direnungkan dan diinsafi kerana ia merupakan pandangan yang terbit dari akar umbi yang rata-ratanya berpendidikan menengah dan bermastautin di kampung-kampung yang tidak begitu arif dengan sepak terajang politik. Walaupun ada diantara mereka baru pertama kali menghadiri kursus sebegini, namun input-input yang diberikan cukup menggambarkan bahawa perjuangan UMNO itu perlu diberi nafas baru dan diremajakan semula.

Kumpulan ini sengaja memilih untuk mengatakan “YA” kepada persoalan “adakah pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin berwibawa” dan melihat ia diluar dari kepompong UMNO supaya kita tidak duduk dalam keadaaan selesa dan dibuai puji-pujian hingga menyebabkan kita lena dari perjuangan.

Tajuk LDK :

Adakah pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin berwibawa?

Definisi :

Apakah itu pemimpin yang berwibawa?
Seorang pemimpin juga harus cekap berfikir, cekap berpidato, mempunyai karisma, bercita-cita tinggi, serta sentiasa bercakap positif. (kamus dewan edisi 3)

Dalam kemelut politik pada hari, ini kumpulan 3 menzahirkan pendapat bahawa sememangnya Pemuda UMNO khususnya dan UMNO keseluruhannya gagal dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa.

Persoalannya kenapa dan mengapa pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin yang berwibawa di kupas dan di bincangkan oleh kumpulan ini yang mana terdiri dari ahli UMNO dan pemimpin akar umbi untuk dikongsi bersama dan untuk renungan dan tindakan selanjutnya.

Persoalan pertama

Adakah pemuda UMNO bersatu dalam membentuk pemimpin berwibawa dan dimanakah punca kegagalnnya?

Bermula dari akar umbi – kegagalan mengumpul ahli

Pemimpin lahir dari satu kelompok masyarakat bagi menjadi wakil demi untuk menjaga hak dan kepentingan mereka. Pemimpin tidak boleh dilantik dikalangan bukan ahli atau dipilih oleh orang diluar masyarakat itu sendiri. Justeru itu, ahli yang ramai akan memberi lebih pilihan dan mempengaruhi karisma seorang pemimpin. Kegagalan mencari pemimpin berwibawa diperingkat akar umbi yang akan menentukan pimpinan diperingkat yang lebih tinggi sebenarnya melumpuhkan jentera UMNO itu sendiri.

Gagal mengesan individu yang berpotensi untuk diketengahkan untuk dijadikan ahli UMNO.

Kegagalan ahli untuk mengesan individu di dalam masyarakatnya yang berpotensi untuk diberi pemahaman tentang halatuju perjuangan seterusnya ditarik masuk kedalam UMNO menyebabkan pilihan untuk mencari pemimpin yang berwibawa semakin terhad. Lebih buruk lagi sesetengah cawangan tiada pilihan langsung untuk mengenengahkan individu sebagai pemimpin mereka.

Kurang pendedahan kepada orang-orang yang berpelajaran tinggi.

Hari ini jika diteliti golongan berpendidikan tinggi tidak memahami perjuangan UMNO kerana kurangnya pendedahan dan pendekatan oleh UMNO itu sendiri. Golongan ini biasanya berfikiran lebih terbuka dan banyak dipengaruhi oleh fahaman yang lebih liberal mengenepikan sentimen terhadap perjuagan bangsanya sendiri.

Pemimpin tidak turun padang

Pemimpin tidak turun padang untuk membantu mengesan calon-calaon yang berkebolahan atau kurangnya tunjuk ajar dari pimpinan atasan. Rata-rata pemimpin di peringkat akar umbi masih kabur tentang tugas dan tanggungjawab yang perlu dimainkan. Sesetengahnya pula menerima tugas kepimpinan secara terpaksa disebabkan tuntutan perlembagaan.

Program-program yang tidak berkesan pada ahli-ahli dan masyarakat amnya.

Program yang dijalankan kurang mendapat sambutan kerana tidak dibuat dengan perancangan yang telilti atau lebih tepat dibuat secara bidan terjun atau melepaskan batuk ditangga. Perlu ada kajiselidik dibuat kepada setiap peserta selepas program tersebut tamat supaya kelemahan-kelemahan program-progam dapat dikenalpasti untuk penambahbaikan.

Persoalan kedua

Apakah kriteria yang perlu ada untuk melahirkan seorang pemimpin. Adakah kerana kewibawaan atau terdesak?

Pemimpin berwibawa tidak menonjolkan diri

Ada dikalangan ahli yang berkewibawaan untuk ditonjolkan sebagai pemimpin sayangnya mereka lebih suka mengasingkan diri atas alasan-alasan yang tertentu. Kegagalan mengesan atau menarik individu-individu seperti ini ke dalam mesyuarat di peringkat cawangan menyukarkan ahli-ahli akar umbi untuk melantik calon-calon ketika pemilihan untuk diangkat sebagai pemimpin dan ditonjolkan ke peringkat seterusnya.

Proksi / kroni

Sikap sesetengah pemimpin yang sedia ada meminggirkan calon-calon yang berkelayakan semasa pemilihan bagi memastikan hanya proksi atau kroni mereka sahaja yang terpilih. Lebih parah sekiranya pemimpin atasan sanggup meletakkan individu yang tidak berkelayakan sebagai proksi mereka bagi meraih sokongan. Hal ini memang tidak dapat dielakkan selagi kepentingan individu diletakkan melebihi kepentingan parti.

Terikat dengan hiraki

Hiraki itu penting bagi menjamin kesinambungan dasar-dasar yang diperjuagkan tetapi jika terlalu terikat dengan sistem ini boleh menyebabkan UMNO itu terkubur. Seharusnya pemimpin atasan perlu memberi lebih peluang kepada pemimpin yang baru sekiranya ia membawa keuntungan kepada parti.

Dinasti

Mungkin telah menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu sesuatu kemahiran itu selalunya akan dijadikan dipelihara dan warisan turun temurun. Ini disebabkan kemahiran dan minat itu terbentuk disebabkan pendedahan yang berterusan didalam kehidupan seharian keluarga tersebut. UMNO perlu merubah pandangan ini kerana realiti pada hari ini boleh dikatakan kita mendapat pendedahan yang hampir sama. Tambahan pula kemahiran boleh dimiliki oleh sesiapa yang berusaha untuknya.

Status peribadi

Ini juga merupakan salah satu dari budaya orang Melayu yang perlu dikikis demi untuk memartabatkan bangsanya. Masyarakat Melayu terlalu menghormati orang-orang yang lebih berpangkat atau kaya menjadi pemimpin mereka. Mereka juga berasa lebih selamat kerana dipayungi orang-orang sedemikian.

Persoalan ketiga

Persepsi masyarakat terhadap Pemuda UMNO.

Kepimpinan pemuda tidak turun ke akar umbi untuk membuat pemantauan

Permasaalahan diperingkat akar umbi gagal di pantau atau dikesan oleh kepimpinan cawangan atau bahagian. Kadangkala diperingkat kepimpinan cawangan sendiri yang gagal untuk memaklumkan permasalahan ke peringkat bahagian untuk tindakan selanjutnya.

Golongan elit

Gaya hidup dan pergaulan serta topik perbualan seharian kepimpinan bahagian sering dilihat sebagai tergolong didalam golongan elit menyebabkan kepimpinan di peringkat akar umbi menjadi kekok dan berasa rendah diri. Persepsi ini akan menyebabkan masyarakat menilai bahawa halatuju dan perjuangan UMNO itu kini telah lari dari landasannya. Persepsi ini perlu diubah dan pemimpin harus lebih mudah dan senang didekati.

Banyak berlaku pembaziran yang di lakukan oleh pemimpin contohnya program yang tiada pengisian dan program tiada kualiti.

Progam yang dianjurkan perlu dinyatakan matlamatnya dan apakah kesan yang terhasil dari program yang dianjurkan. Seringkali selepas progam dianjurkan tiada kajian atau “post moterm” dilakukan dan ditentukan tahap pencapaian dan kesannya. Ini akan menyebabkan masyarakat menganggap program yang dijalankan itu sekadar membuang masa atau sekadar untuk memenuhkan kalender atau syok sendiri.

Kepimpinan sering bertelagah (menunjuk kuasa).

Ini sering disebabkan kepentingan individu melebihi kepentingan UMNO itu sendiri. Masing-masing meluahkan pendapat di tempat-tempat atau kepada individu-individu yang tidak sepatutnya. Ini menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa tiada kesepakatan dalam UMNO dan seolah olah masing-masing ingin menunjukkan siapa yang lebih berkuasa kepada pengikutnya.

Suka mengamalkan sentimen.

Kerana untuk meraih sokongan pemimpin-pemimpin UMNO sering dilihat menimbulkan pelbagai sentimen terhadap pesaingnya. Sentimen ini akan menimbulkan konflik dan rasa tidak puas hati dikalangan satu pihak kepada pihak yang satu lagi. Sentimen ini juga menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan seolah-olah tiada siapa yang boleh dipercayai didalam kepimpinan UMNO.

Persoalan keempat

Benarkah pemimpin atasan menolak ketokohan kepimpinan pemuda?

Menolak hasrat dari akar umbi

Campurtangan dari pihak atasan didalam UMNO menafikan hak kepada ahli diperingkat akar umbi untuk menentukan siapa pemimpin yang mewakili mereka. Tiadanya perbincangan serta pandangan oleh pemimpin setempat bagi pemimpin yang ditunjuk oleh pihak atasan seolah-olah tiada demokrasi didalam UMNO.

Terlalu lama memegang jawatan demi kepentingan diri.

Pemimpin yang tidak kreatif serta produktif memegang jawatan terlalu lama kerana menjaga kepentingan tertentu. Ini juga menyebabkan idea-idea baru dan segar yang cuba diutarakan oleh pemimpin muda terpinggir.

Tidak diberi ruang dan peluang

Sikap pemimpin-pemimpin lama seolah-olah kononnya hanya merekalah yang berjuang untuk UMNO dan merasakan seolah-olah UMNO itu hanya milik mereka sahaja. Sikap tidak memberi ruang dan peluang seolah-olah tidak mempercayai dan menafikan kebolehan pemimpin muda.

Ego

Sikap ego pemimpin-pemimpin UMNO yang merasakan haya merekalah yang lebih tahu dan lebih pandai dalam soal politik. Ini ditambah pula dengan sikap sesetengah pemimpin merasakan tidak perlu untuk mendengar pandangan atau keluhan dari akar umbi disebabkan oleh latarbelakang keluarga dan pendidikan.

Kuota

Sistem kuota menyebabkan pemimpin-pemimpin muda yang lebih berkelayakan tidak dapat diketengahkan hanya kerana kuota telah penuh atau lebih tepat lagi sistem kuota itu menyekat lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa.(ini merujuk kepada pemilihan sebagai wakil rakyat, hanya beberapa kerusi sahaja diberikan kepada pemuda. Walaupun pemimpin atasan tahu, ada lagi calon yang lebih layak dalam pemuda namun kerana kuota untuk pemuda sudah mencukupi maka calon yang berkelayakan itu telah terpinggir).

Persoalan kelima

Mengamalkan politik tidak sihat.

Politik wang

Hari ini rata-rata orang memperkatakan tentang politik wang. Dengan kuasa wang seseorang dikatakan boleh membeli pangkat dan dengan kuasa wang, pemimpin yang berwibawa boleh dijatuhkan

Cantas/Sekatan

Pemimpin-pemimpin yang berwibawa juga seringkali dicantas atau disekat disebabkan oleh kepimpinan atasan merasa kehadiran pemimpin-pemimpin sebegini boleh menggugat kedudukan mereka.

Berkepentingan

Sesetengah pemimpin mempunyai kepentingan tertentu diluar dari parti apabila menjawat jawatan tertentu. Melepaskan jawatan kepada orang lain akan menyebabkan kepentingan tersebut juga akan hilang.

Hasad dengki

Orang Melayu sering dilabel sebagai bangsa yang sinonim dengan hasad dengki kepada bangsanya sendiri. Apabila tidak mendapat sesuatu yang dihajati ada individu didalam UMNO itu sendiri melemparkan fitnah dan adu domba. Hal ini juga menyebabkan pemimpin yang berwibawa tidak dapat menjalankan tugas dengan lancar dan sempurna.

Ugutan

Sesetengah pemimpin mengamalkan ugutan terutamanaya kepada akar umbi, padah akan menimpa sekiranya tidak menyokong mereka. Dalam sistem demokrasi, sekiranya perkara ini berlaku akan menyebabkan pemimpin yang benar-benar layak tidak dapat diketengahkan kerana kekurangan sokongan.

Rumusan

Sememangya kepimpinan pemuda keseluruhannya hari ini semakin layu. Ramai pemuda Melayu semakin keliru dengan situasi politik hari ini. Masyarakat seolah-olah tidak begitu yakin dengan apa yang UMNO perjuangkan. Pimpinan UMNO perlu bermuhasabah bagi mengatasi kemelut yang melanda UMNO hari ini dan berikut adalah beberapa perkara yang perlu direnungi dan di perhalusi.


· Ramai pemuda Melayu umumnya dan Pemuda UMNO khasnya gagal untuk memahami perjuangan UMNO itu sendiri kerana kepimpinan yang tidak berwibawa dan gagal memberi pemahaman sepenuhnya kepada masyarakat umum.

· Ramai pemimpin muda UMNO yang berwibawa dipinggirkan demi menjaga kepentingan serta sepak terajang pemimpin yang lebih senior.

· Pemimpin senior dalam UMNO gagal menterjemahkan kemahuan golongan muda dan masih meneruskan idea-idea lama yang kurang sesuai dan gagal menambat hati serta hasrat golongan muda ketika ini.

· Pemimpin Melayu yang berketrampilan tidak mahu berjuang bersama-sama UMNO kerana muak dengan kemelut serta birokrasi di peringkat dalaman parti.

· Kepimpinan UMNO yang tidak bersatu memberi kesan langsung kepada kewibawaan pimpinan UMNO dan memberi impak yang negatif kepada tanggapan umum.

· Perubahan perlu dilakukan dilalam kepimpinan UMNO sekiranya ia mahu terus kekal relevan dalam memmartabatkan Bangsa Melayu.

· Ahli UMNO keseluruhannya perlu insaf bahawa mereka berhak menentukan siapa pemimpin yang mereka kehendaki dan siapa pemimpin yang perlu mereka tolak.

Sememangnya Pemuda UMNO hari ini gagal melahirkan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan hakikat itu terserlah pada keputusan pilihanraya yang baru lalu. Pemuda sekadar menjadi penggempur kepada isu-isu yang berkaitan dengan poster dan sepanduk, pemuda bermotorsikal bagi mengiringi dan meraikan calon-calon dan tidak lebih dari itu.

Pemuda UMNO gagal dibekalkan dengan fakta oleh kepimpinan tertinggi membolehkan mereka berhujah bagi menangani atau menangkis isu-isu serta tomahan yang dibawa oleh pembangkang bagi meyakinkan golongan muda serta meraih sokongan menyebabkan saluran orang-orang muda banyak yang tewas.

Akar umbi yang kuat dan baik akan menyumbang kepada kekuatan kepada akar tunjang yang menunjangi kekuatan sepohon pokok agar ia mampu terus berdiri. Pemimpin akar umbi yang baik akan memberi kekuatan kepada UMNO yang menunjangi perjuangan Bangsa Melayu.

Sememangya perjuangan UMNO itu bukanlah hak mutlak kepada pemimpin atasan semata-mata dan bukanlah perjuangan UMNO itu untuk memartabatkan pemimpin atasannya. Perjuangan UMNO adalah milik bangsa melayu yang inginkan hak-hak bangsanya dipelihara dan di pertahankan demi memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini. Kembalikanlah hak ini kepada ahli UMNO khasnya dan bangsa melayu umumnya untuk menentukan pimpinan yang benar-benar berjuang untuk agama dan bangsanya agar kesinambungan perjuangan itu terus subur bagi memastikan ketuanan melayu akan kekal selamanya.

*** Kumpulan 3 hanya terlibat didalam penyediaan pointer kepada tajuk yang dibincangkan dan tidak terlibat secara langsung didalam artikel ini. Segala ulasan dan pandangan adalah dari pemahaman penulis semasa sama-sama didalam sessi brainstorming kursus tersebut.

Tiada ulasan: