Selasa, 20 Mei 2008

Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w. (sallallahu aleihi wassalam) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja berfungsi sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa. Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."


Kelahiran
Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, Arab Saudi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M).
(jika mengikut jadual pengiraan kalendar, hari isnin 20 april 571M jatuh pada 9 Rabiulawal. Tarikh 12 Rabiulawal jatuh pada hari khamis 23 april 571M. Sehingga kini masih menjadi persoalan tentang tarikh sebenar kelahiran nabi. Tetapi ulama berkata, yang pastinya nabi Muhamad lahir pada hari isnin 20 april tahun gajah. Oleh itu, kelahiran nabi mengikut kalendar islam adalah 9 Rabiulawal dan bukan 12 rabiulawal).

Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.
Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang
anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Mekah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Masa remaja
Dalam masa remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan
Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.
Berumahtangga
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, pakciknya menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (
Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.
Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 7 orang anak (3 lelaki dan 4 perempuan) tetapi ketiga-tiga anak lelaki mereka, Qasim, Abdullah dan Ibrahim meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah beliau meninggal pada usia 51 tahun.

Bapa-bapa saudara dan ibu-ibu saudara Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Harith bin Abdul Muthalib
Muqawwam bin Abdul Muthalib
Zubair bin Abdul Muthalib
Hamzah bin Abdul Muthalib
Al-Abbas bin Abdul Muthalib
Abu Thalib bin Abdul Muthalib
Abu Lahab bin Abdul Muthalib
Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
Hijl bin Abdul Muthalib
Dzirar bin Abdul Muthalib
Ghaidaq bin Abdul Muthalib
Safiyah binti Abdul Muthalib
'Atikah binti Abdul Muthalib
Arwa binti Abdul Muthalib
Umaimah binti Abdul Muthalib
Barrah binti Abdul Muthalib
Ummi Hakim al-Bidha binti Abdul Muthalib

Kerasulan
Muhammad telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerapkali ke Gua Hira', sebuah gua bukit dekat Mekah, yang kemudian dikenali sebgai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan yang kian berleluasa.

Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di
Gua Hira', Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda diminta membaca. Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap sama. Akhirnya, Jibril berkata: "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Ini merupakan wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah s.a.w. dan dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran (bacaan). Kebanyakkan ayat-ayatnya mempunyai erti yang jelas. Sebahagiannya diterjemah dan dihubungkan dengan ayat-ayat yang lain. Sebahagiannya pula diterjemah oleh Rasulullah sendiri melalui percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.

Cabaran-cabaran
Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakkan pengikut baginda adalah dari anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan, Antara mereka ialah
Khadijah, Ali, Zayd dan Bilal. Apabila baginda memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya. Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam. Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.
Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil
masyarakat yang dihormati di Mekah menganut agama Islam. Antara mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin Afan, Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi.
Akibat cabaran dari masyarakat jahiliyah di Mekah, sebahagian orang Islam disiksa, dianiaya, disingkir dan dipulaukan. Baginda terpaksa bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya. Baginda meminta
Negus Raja Habsyah, untuk membenarkan orang-orang Islam berhijrah ke negaranya. Negus mengalu-alaukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Mekah.

Hijrah
Di Mekah terdapat
Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. beberapa abad lalu sebagai pusat penyatuan umat untuk beribadat kepada Allah. Sebelumnya ia dijadikan oleh masyarakat jahiliyah sebagai tempat sembahyang selain dari Allah. Mereka datang dari berbagai daerah Arab, mewakili berbagai suku ternama. Ziarah ke Kaabah dijadikan mereka sebagai sebuah pesta tahunan. Orang ramai bertemu dan berhibur dengan kegiatan-kegiatan tradisi mereka dalam kunjungan ini. Baginda mengambil peluang ini untuk menyebarkan Islam. Antara mereka yang tertarik dengan seruan baginda ialah sekumpulan orang dari Yathrib. Mereka menemui Rasulullah dan beberapa orang Islam dari Mekah di desa bernama Aqabah secara sembunyi-sembunyi. Setelah menganut Islam, mereka bersumpah untuk melindungi Islam, Rasulullah dan orang-orang Islam Mekah.
Tahun berikutnya, sekumpulan masyarakat Islam dari Yathrib datang lagi ke Mekah. Mereka menemui Rasulullah di tempat yang mereka bertemu sebelumnya. Kali ini, Abbas bin Abdul Muthalib, pakcik baginda yang belum menganut Islam hadir dalam pertemuan itu. Mereka mengundang baginda dan orang-orang Islam Mekah untuk berhijrah ke Yathrib. Mereka berjanji akan melayani mereka sebagai saudara seagama. Dialog yang memakan masa agak lama diadakan antara mayarakat Islam Yathrib dengan pakcik Rasulullah untuk memastikan mereka sesungguhnya berhasrat mengalu-alukan masyarakat Islam Mekah di bandar mereka. Rasulullah akhirnya bersetuju untuk berhijrah beramai-ramai ke bandar baru itu.
Mengetahui ramai masyarakat Islam merancang meninggalkan Mekah, masyarakat jahiliyah Mekah cuba menghalang mereka. Namun kumpulan pertama telahpun berjaya berhijrah ke Yathrib. Masyarakat jahiliyah Mekah bimbang hijrah ke Yathrib akan memberi peluang kepada orang Islam untuk mengembangkan agama mereka ke daerah-daerah yang lain.
Hampir dua bulan seluruh masyarakat Islam dari Mekah kecuali Rasulullah,
Abu Bakar, Ali dan beberapa orang yang daif, telah berhijrah. Masyarakat Mekah kemudian memutuskan untuk membunuh baginda. Mereka merancang namun tidak berjaya. Dengan berbagai taktik dan rancangan yang teratur, Rasulullah akhirnya sampai dengan selamat ke Yathrib, yang kemudian dikenali sebagai, 'Bandar Rasulullah'.
Masjid al Nabawi atau sering disebut Masjid Nabi, dibina sendiri oleh baginda di Madinah
Madinah
Di
Madinah, kerajaan Islam diwujudkan di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Umat Islam bebas mengerjakan solat di Madinah. Musyrikin Makkah mengetahui akan perkara ini kemudiannya melancarkan beberapa serangan ke atas Madinah tetapi kesemuanya ditangkis dengan mudah oleh umat Islam. Satu perjanjian kemudiannya dibuat dengan memihak kepada pihak Quraish Makkah. Walau bagaimanapun perjanjian itu dicabuli oleh mereka dengan menyerang sekutu umat Islam. Orang Muslim pada ketika ini menjadi semakin kuat telah membuat keputusan untuk menyerang musyrikin Makkah memandangkan perjanjian telah dicabuli.

Pembukaan Kota Makkah
Pada tahun kelapan selepas penghijrahan ke Madinah berlaku, Nabi Muhammad s.a.w. berlepas ke Makkah. Tentera Islam yang seramai 10,000 orang tiba di Makkah dengan penuh bersemangat. Takut akan nyawa mereka terkorban, penduduk Makkah bersetuju untuk menyerahkan kota Makkah tanpa sebarang syarat. Nabi Muhammad s.a.w. kemudian mengarahkan supaya kesemua berhala dan patung-patung di sekeliling Kaabah dimusnahkan.
Pesanan Terakhir Rasulullah S.A.W (Isi Khutbah terakhir rasulullah SAW)
Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku. "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Kronologi perkembangan Islam
571M- Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan.
610M- Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama di Gua Hira'.
615M- Orang Muslim didera oleh puak Quraish. Hijrah pertama ke Habsyah.
616M- Saidina Hamzah dan Saidina Umar memeluk Islam. Hijrah kedua ke Habsyah.
619M- Khadijah (isteri nabi) dan Abu Talib (bapa saudara nabi) meninggal dunia. Melawat Taif. Peristiwa Isra dan Mi'raj berlaku.

batu yang dijadikan tempat untuk nabi Muhammad berdiri sebelum naik ke langit bersama malaikat jibril masih terapung sehingga hari ini.

621M- Perjanjian Aqabah pertama.
622M- Perjanjian Aqabah kedua. Hijrah ke Madinah.
624M- Perang Badar.
625M- Perang Uhud.
627M- Perang Ahzab.
628M- Perjanjian Hudaybiyah.
629M- Perang Khaibar dan dalam menentang tentera Rom Byzantine, baginda menghantar tentera Islam dalam Perang Mu'tah.
630M- Pembukaan Makkah. Perang Hunain.
631M- Perang Tabuk.
632M- Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah.

4. Nabi Hud a.s.5. Nabi Salih a.s.6. Nabi Ibrahim a.s.

7. Nabi Luth a.s.8. Nabi Ismail a.s.9. Nabi Ishaq a.s.

10. Nabi Ya'akub a.s. 11. Nabi Yusuf a.s.12. Nabi Ayub a.s.

13. Nabi Syu'aib a.s.14. Nabi Musa a.s.15. Nabi Harun a.s.

16. Nabi Zulkifli a.s.17. Nabi Daud a.s.18. Nabi Sulaiman a.s.

19. Nabi Ilyas a.s.20. Nabi Ilyasa’ a.s. 21. Nabi Yunus a.s.

22. Nabi Zakaria a.s.23. Nabi Yahya a.s.24. Nabi Isa a.s.

25. Nabi Muhammad s.a.w
makam Rasul Allah, nabi Muhammad S.A.W

klik untuk berita penuh »»

Isnin, 19 Mei 2008

Adakah pemuda UMNO gagal dalam melahirkan pemimpin berwibawa


Latihan Dalam Kumpulan

KUMPULAN 3

PUSAT KECEMERLANGAN PEMBANGUNAN INSAN

KEM. SEKAKAP MERSING



Nama ahli kumpulan

Ketua : Shamsudin Bin Wahab
Setiausaha : Mohd Sidik Bin Shamsudin

Ahli

Shamsudin Bin Wahab (Caw. Felda Bukit Permai)
Mohd Sidek Bin Shamsudin (Caw. Jln. Jati)
Mohd Fauzi Bin Repan (Caw. Kg. Sg. Sayong)
Samudin Bin Tobari (Caw. Sepakat Baru)
Setia Budi Bin Tosrin (Caw. Kg. Bahagia)
Mohd Hanafia Bin Ibrahim (Caw. Bandar Kulai)
Azmi Ramli (Caw. Ladang Frazer)
Mohd Azlizan (Caw. Bandar Kulai)
Anuar (Caw. Senai Kulai)
Rosnili Bin Hj. Amirel (Caw. Kg. Melayu Sedenak)
Mohad Faezal (Caw. Felda Inas)
Zulhelmy (Caw. Felda Inas)
Shah Rizal (Caw. Ladang Sedenak)
Ariff Iszuwan (Caw. Kg. Seri Rahmat)
Azmil Bin Ithnin (Caw. Kg. Seri Muar)
Idris ( Caw. Tmn Putri)
Mohd Nazri (Caw. Ladang Sedenak)

Pendahuluan

Persoalan “adakah pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin berwibawa” merupakan persoalan yang di pertanggungjawabkan kepada kumpulan tiga didalam kussus jati diri Pemuda UMNO Bahagian Kulai yang bertemakan “Memperkasa Maruah Bangsa” yang telah dijalankan di kem Sekakap Mersing pada 1, 2 dan 3hb. Mei 2008.

Kursus ini dianjurkan rentetan dari keputusan pilihanraya ke 12 yang mengejutkan. Pandangan yang terdapat didalam kerja kursus ini datangnya dari luahan hati peserta peringkat akar umbi yang terdiri dari ahli jawatankuasa pemuda bahagian, ketua pemuda cawangan ahli pemuda cawangan yang sememnagnya rapat dengan masyarakat.

Persoalan yang diutarakan bukan untuk menuding jari mencari kesalahan tetapi perlu direnungkan dan diinsafi kerana ia merupakan pandangan yang terbit dari akar umbi yang rata-ratanya berpendidikan menengah dan bermastautin di kampung-kampung yang tidak begitu arif dengan sepak terajang politik. Walaupun ada diantara mereka baru pertama kali menghadiri kursus sebegini, namun input-input yang diberikan cukup menggambarkan bahawa perjuangan UMNO itu perlu diberi nafas baru dan diremajakan semula.

Kumpulan ini sengaja memilih untuk mengatakan “YA” kepada persoalan “adakah pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin berwibawa” dan melihat ia diluar dari kepompong UMNO supaya kita tidak duduk dalam keadaaan selesa dan dibuai puji-pujian hingga menyebabkan kita lena dari perjuangan.

Tajuk LDK :

Adakah pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin berwibawa?

Definisi :

Apakah itu pemimpin yang berwibawa?
Seorang pemimpin juga harus cekap berfikir, cekap berpidato, mempunyai karisma, bercita-cita tinggi, serta sentiasa bercakap positif. (kamus dewan edisi 3)

Dalam kemelut politik pada hari, ini kumpulan 3 menzahirkan pendapat bahawa sememangnya Pemuda UMNO khususnya dan UMNO keseluruhannya gagal dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa.

Persoalannya kenapa dan mengapa pemuda UMNO gagal melahirkan pemimpin yang berwibawa di kupas dan di bincangkan oleh kumpulan ini yang mana terdiri dari ahli UMNO dan pemimpin akar umbi untuk dikongsi bersama dan untuk renungan dan tindakan selanjutnya.

Persoalan pertama

Adakah pemuda UMNO bersatu dalam membentuk pemimpin berwibawa dan dimanakah punca kegagalnnya?

Bermula dari akar umbi – kegagalan mengumpul ahli

Pemimpin lahir dari satu kelompok masyarakat bagi menjadi wakil demi untuk menjaga hak dan kepentingan mereka. Pemimpin tidak boleh dilantik dikalangan bukan ahli atau dipilih oleh orang diluar masyarakat itu sendiri. Justeru itu, ahli yang ramai akan memberi lebih pilihan dan mempengaruhi karisma seorang pemimpin. Kegagalan mencari pemimpin berwibawa diperingkat akar umbi yang akan menentukan pimpinan diperingkat yang lebih tinggi sebenarnya melumpuhkan jentera UMNO itu sendiri.

Gagal mengesan individu yang berpotensi untuk diketengahkan untuk dijadikan ahli UMNO.

Kegagalan ahli untuk mengesan individu di dalam masyarakatnya yang berpotensi untuk diberi pemahaman tentang halatuju perjuangan seterusnya ditarik masuk kedalam UMNO menyebabkan pilihan untuk mencari pemimpin yang berwibawa semakin terhad. Lebih buruk lagi sesetengah cawangan tiada pilihan langsung untuk mengenengahkan individu sebagai pemimpin mereka.

Kurang pendedahan kepada orang-orang yang berpelajaran tinggi.

Hari ini jika diteliti golongan berpendidikan tinggi tidak memahami perjuangan UMNO kerana kurangnya pendedahan dan pendekatan oleh UMNO itu sendiri. Golongan ini biasanya berfikiran lebih terbuka dan banyak dipengaruhi oleh fahaman yang lebih liberal mengenepikan sentimen terhadap perjuagan bangsanya sendiri.

Pemimpin tidak turun padang

Pemimpin tidak turun padang untuk membantu mengesan calon-calaon yang berkebolahan atau kurangnya tunjuk ajar dari pimpinan atasan. Rata-rata pemimpin di peringkat akar umbi masih kabur tentang tugas dan tanggungjawab yang perlu dimainkan. Sesetengahnya pula menerima tugas kepimpinan secara terpaksa disebabkan tuntutan perlembagaan.

Program-program yang tidak berkesan pada ahli-ahli dan masyarakat amnya.

Program yang dijalankan kurang mendapat sambutan kerana tidak dibuat dengan perancangan yang telilti atau lebih tepat dibuat secara bidan terjun atau melepaskan batuk ditangga. Perlu ada kajiselidik dibuat kepada setiap peserta selepas program tersebut tamat supaya kelemahan-kelemahan program-progam dapat dikenalpasti untuk penambahbaikan.

Persoalan kedua

Apakah kriteria yang perlu ada untuk melahirkan seorang pemimpin. Adakah kerana kewibawaan atau terdesak?

Pemimpin berwibawa tidak menonjolkan diri

Ada dikalangan ahli yang berkewibawaan untuk ditonjolkan sebagai pemimpin sayangnya mereka lebih suka mengasingkan diri atas alasan-alasan yang tertentu. Kegagalan mengesan atau menarik individu-individu seperti ini ke dalam mesyuarat di peringkat cawangan menyukarkan ahli-ahli akar umbi untuk melantik calon-calon ketika pemilihan untuk diangkat sebagai pemimpin dan ditonjolkan ke peringkat seterusnya.

Proksi / kroni

Sikap sesetengah pemimpin yang sedia ada meminggirkan calon-calon yang berkelayakan semasa pemilihan bagi memastikan hanya proksi atau kroni mereka sahaja yang terpilih. Lebih parah sekiranya pemimpin atasan sanggup meletakkan individu yang tidak berkelayakan sebagai proksi mereka bagi meraih sokongan. Hal ini memang tidak dapat dielakkan selagi kepentingan individu diletakkan melebihi kepentingan parti.

Terikat dengan hiraki

Hiraki itu penting bagi menjamin kesinambungan dasar-dasar yang diperjuagkan tetapi jika terlalu terikat dengan sistem ini boleh menyebabkan UMNO itu terkubur. Seharusnya pemimpin atasan perlu memberi lebih peluang kepada pemimpin yang baru sekiranya ia membawa keuntungan kepada parti.

Dinasti

Mungkin telah menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu sesuatu kemahiran itu selalunya akan dijadikan dipelihara dan warisan turun temurun. Ini disebabkan kemahiran dan minat itu terbentuk disebabkan pendedahan yang berterusan didalam kehidupan seharian keluarga tersebut. UMNO perlu merubah pandangan ini kerana realiti pada hari ini boleh dikatakan kita mendapat pendedahan yang hampir sama. Tambahan pula kemahiran boleh dimiliki oleh sesiapa yang berusaha untuknya.

Status peribadi

Ini juga merupakan salah satu dari budaya orang Melayu yang perlu dikikis demi untuk memartabatkan bangsanya. Masyarakat Melayu terlalu menghormati orang-orang yang lebih berpangkat atau kaya menjadi pemimpin mereka. Mereka juga berasa lebih selamat kerana dipayungi orang-orang sedemikian.

Persoalan ketiga

Persepsi masyarakat terhadap Pemuda UMNO.

Kepimpinan pemuda tidak turun ke akar umbi untuk membuat pemantauan

Permasaalahan diperingkat akar umbi gagal di pantau atau dikesan oleh kepimpinan cawangan atau bahagian. Kadangkala diperingkat kepimpinan cawangan sendiri yang gagal untuk memaklumkan permasalahan ke peringkat bahagian untuk tindakan selanjutnya.

Golongan elit

Gaya hidup dan pergaulan serta topik perbualan seharian kepimpinan bahagian sering dilihat sebagai tergolong didalam golongan elit menyebabkan kepimpinan di peringkat akar umbi menjadi kekok dan berasa rendah diri. Persepsi ini akan menyebabkan masyarakat menilai bahawa halatuju dan perjuangan UMNO itu kini telah lari dari landasannya. Persepsi ini perlu diubah dan pemimpin harus lebih mudah dan senang didekati.

Banyak berlaku pembaziran yang di lakukan oleh pemimpin contohnya program yang tiada pengisian dan program tiada kualiti.

Progam yang dianjurkan perlu dinyatakan matlamatnya dan apakah kesan yang terhasil dari program yang dianjurkan. Seringkali selepas progam dianjurkan tiada kajian atau “post moterm” dilakukan dan ditentukan tahap pencapaian dan kesannya. Ini akan menyebabkan masyarakat menganggap program yang dijalankan itu sekadar membuang masa atau sekadar untuk memenuhkan kalender atau syok sendiri.

Kepimpinan sering bertelagah (menunjuk kuasa).

Ini sering disebabkan kepentingan individu melebihi kepentingan UMNO itu sendiri. Masing-masing meluahkan pendapat di tempat-tempat atau kepada individu-individu yang tidak sepatutnya. Ini menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa tiada kesepakatan dalam UMNO dan seolah olah masing-masing ingin menunjukkan siapa yang lebih berkuasa kepada pengikutnya.

Suka mengamalkan sentimen.

Kerana untuk meraih sokongan pemimpin-pemimpin UMNO sering dilihat menimbulkan pelbagai sentimen terhadap pesaingnya. Sentimen ini akan menimbulkan konflik dan rasa tidak puas hati dikalangan satu pihak kepada pihak yang satu lagi. Sentimen ini juga menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan seolah-olah tiada siapa yang boleh dipercayai didalam kepimpinan UMNO.

Persoalan keempat

Benarkah pemimpin atasan menolak ketokohan kepimpinan pemuda?

Menolak hasrat dari akar umbi

Campurtangan dari pihak atasan didalam UMNO menafikan hak kepada ahli diperingkat akar umbi untuk menentukan siapa pemimpin yang mewakili mereka. Tiadanya perbincangan serta pandangan oleh pemimpin setempat bagi pemimpin yang ditunjuk oleh pihak atasan seolah-olah tiada demokrasi didalam UMNO.

Terlalu lama memegang jawatan demi kepentingan diri.

Pemimpin yang tidak kreatif serta produktif memegang jawatan terlalu lama kerana menjaga kepentingan tertentu. Ini juga menyebabkan idea-idea baru dan segar yang cuba diutarakan oleh pemimpin muda terpinggir.

Tidak diberi ruang dan peluang

Sikap pemimpin-pemimpin lama seolah-olah kononnya hanya merekalah yang berjuang untuk UMNO dan merasakan seolah-olah UMNO itu hanya milik mereka sahaja. Sikap tidak memberi ruang dan peluang seolah-olah tidak mempercayai dan menafikan kebolehan pemimpin muda.

Ego

Sikap ego pemimpin-pemimpin UMNO yang merasakan haya merekalah yang lebih tahu dan lebih pandai dalam soal politik. Ini ditambah pula dengan sikap sesetengah pemimpin merasakan tidak perlu untuk mendengar pandangan atau keluhan dari akar umbi disebabkan oleh latarbelakang keluarga dan pendidikan.

Kuota

Sistem kuota menyebabkan pemimpin-pemimpin muda yang lebih berkelayakan tidak dapat diketengahkan hanya kerana kuota telah penuh atau lebih tepat lagi sistem kuota itu menyekat lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa.(ini merujuk kepada pemilihan sebagai wakil rakyat, hanya beberapa kerusi sahaja diberikan kepada pemuda. Walaupun pemimpin atasan tahu, ada lagi calon yang lebih layak dalam pemuda namun kerana kuota untuk pemuda sudah mencukupi maka calon yang berkelayakan itu telah terpinggir).

Persoalan kelima

Mengamalkan politik tidak sihat.

Politik wang

Hari ini rata-rata orang memperkatakan tentang politik wang. Dengan kuasa wang seseorang dikatakan boleh membeli pangkat dan dengan kuasa wang, pemimpin yang berwibawa boleh dijatuhkan

Cantas/Sekatan

Pemimpin-pemimpin yang berwibawa juga seringkali dicantas atau disekat disebabkan oleh kepimpinan atasan merasa kehadiran pemimpin-pemimpin sebegini boleh menggugat kedudukan mereka.

Berkepentingan

Sesetengah pemimpin mempunyai kepentingan tertentu diluar dari parti apabila menjawat jawatan tertentu. Melepaskan jawatan kepada orang lain akan menyebabkan kepentingan tersebut juga akan hilang.

Hasad dengki

Orang Melayu sering dilabel sebagai bangsa yang sinonim dengan hasad dengki kepada bangsanya sendiri. Apabila tidak mendapat sesuatu yang dihajati ada individu didalam UMNO itu sendiri melemparkan fitnah dan adu domba. Hal ini juga menyebabkan pemimpin yang berwibawa tidak dapat menjalankan tugas dengan lancar dan sempurna.

Ugutan

Sesetengah pemimpin mengamalkan ugutan terutamanaya kepada akar umbi, padah akan menimpa sekiranya tidak menyokong mereka. Dalam sistem demokrasi, sekiranya perkara ini berlaku akan menyebabkan pemimpin yang benar-benar layak tidak dapat diketengahkan kerana kekurangan sokongan.

Rumusan

Sememangya kepimpinan pemuda keseluruhannya hari ini semakin layu. Ramai pemuda Melayu semakin keliru dengan situasi politik hari ini. Masyarakat seolah-olah tidak begitu yakin dengan apa yang UMNO perjuangkan. Pimpinan UMNO perlu bermuhasabah bagi mengatasi kemelut yang melanda UMNO hari ini dan berikut adalah beberapa perkara yang perlu direnungi dan di perhalusi.


· Ramai pemuda Melayu umumnya dan Pemuda UMNO khasnya gagal untuk memahami perjuangan UMNO itu sendiri kerana kepimpinan yang tidak berwibawa dan gagal memberi pemahaman sepenuhnya kepada masyarakat umum.

· Ramai pemimpin muda UMNO yang berwibawa dipinggirkan demi menjaga kepentingan serta sepak terajang pemimpin yang lebih senior.

· Pemimpin senior dalam UMNO gagal menterjemahkan kemahuan golongan muda dan masih meneruskan idea-idea lama yang kurang sesuai dan gagal menambat hati serta hasrat golongan muda ketika ini.

· Pemimpin Melayu yang berketrampilan tidak mahu berjuang bersama-sama UMNO kerana muak dengan kemelut serta birokrasi di peringkat dalaman parti.

· Kepimpinan UMNO yang tidak bersatu memberi kesan langsung kepada kewibawaan pimpinan UMNO dan memberi impak yang negatif kepada tanggapan umum.

· Perubahan perlu dilakukan dilalam kepimpinan UMNO sekiranya ia mahu terus kekal relevan dalam memmartabatkan Bangsa Melayu.

· Ahli UMNO keseluruhannya perlu insaf bahawa mereka berhak menentukan siapa pemimpin yang mereka kehendaki dan siapa pemimpin yang perlu mereka tolak.

Sememangnya Pemuda UMNO hari ini gagal melahirkan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan hakikat itu terserlah pada keputusan pilihanraya yang baru lalu. Pemuda sekadar menjadi penggempur kepada isu-isu yang berkaitan dengan poster dan sepanduk, pemuda bermotorsikal bagi mengiringi dan meraikan calon-calon dan tidak lebih dari itu.

Pemuda UMNO gagal dibekalkan dengan fakta oleh kepimpinan tertinggi membolehkan mereka berhujah bagi menangani atau menangkis isu-isu serta tomahan yang dibawa oleh pembangkang bagi meyakinkan golongan muda serta meraih sokongan menyebabkan saluran orang-orang muda banyak yang tewas.

Akar umbi yang kuat dan baik akan menyumbang kepada kekuatan kepada akar tunjang yang menunjangi kekuatan sepohon pokok agar ia mampu terus berdiri. Pemimpin akar umbi yang baik akan memberi kekuatan kepada UMNO yang menunjangi perjuangan Bangsa Melayu.

Sememangya perjuangan UMNO itu bukanlah hak mutlak kepada pemimpin atasan semata-mata dan bukanlah perjuangan UMNO itu untuk memartabatkan pemimpin atasannya. Perjuangan UMNO adalah milik bangsa melayu yang inginkan hak-hak bangsanya dipelihara dan di pertahankan demi memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini. Kembalikanlah hak ini kepada ahli UMNO khasnya dan bangsa melayu umumnya untuk menentukan pimpinan yang benar-benar berjuang untuk agama dan bangsanya agar kesinambungan perjuangan itu terus subur bagi memastikan ketuanan melayu akan kekal selamanya.

*** Kumpulan 3 hanya terlibat didalam penyediaan pointer kepada tajuk yang dibincangkan dan tidak terlibat secara langsung didalam artikel ini. Segala ulasan dan pandangan adalah dari pemahaman penulis semasa sama-sama didalam sessi brainstorming kursus tersebut.

klik untuk berita penuh »»

Rabu, 14 Mei 2008

Siapa pengundi UMNO

Persoalan ini sebenarnya mudah, tapi sukar untuk difahami oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Pengundi UMNO tentunya orang melayu, takkan ler orang putih nak mengundi UMNO. Memanglah PRU12 BN menang, UMNO menang. Tetapi jika kita lihat penurunan peratus orang melayu mengundi UMNO tersangat ramai. Disetiap DUN yang diwakili oleh calon UMNO, tiada yang meningkat atau mengekalkan jumlah pengundi. Semua calon UMNO kehilangan ramai pengundi-pengundi melayu.
Pemimpin-pemimpin UMNO tidak pernah mendalami jiwa orang melayu. Bukan jiwa orang melayu Bandar, tetapi orang-orang melayu di kampung-kampung, taman-taman yang jauh dari kota metropolitan. Apa yang mereka tahu tentang projek mega… koridorlah, keretapi moden, pertandingan F1, perahu layar antarabangsa, kegemilangan menghantar angkasawan, yang bertambah angka kena sawan adalah.
Orang melayu sub-bandar hanya tahu cari nafkah untuk keluarga,bayar hutang yang dah tentunya ada. Ramai orang melayu yang tak cukup kuat ekonominya. Kalau ada permintaan tanpa rancangan dari anakbini, kena tunggu cukup bulan masa dapat gaji. Terlalu ramai yang hidup menunggu cukup bulan, cukup bulan, cukup bulan…akhirnya bila tiba pilihanraya, mereka pangkah BULAN.
Isu-isu remeh tetapi berjaya
Inilah yang digunakan oleh pembangkang semasa PRU12 yang lalu. Kenaikan harga barang,beras, tepung, gula, minyak masak, petrol dan macam-macam lagi. Suku sakat pembangkang siap melagukan lagi kenaikan harga barang ini.
Barang-barang inilah yang menjadi asas kehidupan orang melayu bawahan. Orang-orang kaya mana ada rasa kalau setakat kenaikkan sepuluh dua puluh sen ni. Makan kat rumah pun setahun sekali, tunggu raya je. Kekadang raya pun sambut kat hotel lima bintang, kalau tak keluar negeri. Jadi bila pemimpin UMNO bercerita tentang projek besar, ratusan jut asana sini, orang melayu bawahan ni lagi lah bertambah pening. Jangankan ratusan juta, ratus ribu tak ada, ribu-riban tak ada, ratus-ratus pun nasib baiklah kalau ada. Itu pun sampai tengah bulan je, lepas tu tunggu lagi CUKUP BULAN. Yang ada berjuta pada mereka hanyalah masalah, masalah dan masalah.



Celik mata je dah bermasalah, nak beli susu anak, harga makin naik, beli rumah kos rendah tapi terbengkalai tak siap-siap, dapat kuota rumah setinggan pindah rumah flet tapi diseleweng… isu seperti inilah yang menghantui kehidupan mereka sebab hari-hari berlaku depan mata.
Wahai pemimpin-pemimpin UMNO, selamilah hati dan kehidupan orang melayu bawahan, yang menjadi akar dan umbi kekuatan UMNO. Jika akar umbi tiada, manakan ada pokok yang boleh teguh berdiri. Memang ramai melayu yang kaya, bergelar dato’, datin dan tan sri, tetapi orang-orang bawahan sangat penting kerana mereka bergelar tiang seri. Patah tiang seri, runtuhlah istana.

klik untuk berita penuh »»

Selasa, 13 Mei 2008

HALATUJU AHLI POLITIK DAN AHLI UMNO


Hari ini, 13 mei 2008.

Setelah 39 tahun berlalunya peristiwa berdarah, orang-orang melayu mula lupa akan sejarah hitam itu.perasaan tamakkan kuasa mulai menguasai sebilangan besar pemimpin-pemimpin UMNO. mereka lupa, sikap inilah yang menyebabkan orang melayu hampir kehilangan tampok pemerintahan.

melayu...melayu...melayu...

sememangnya

melayu mudah lupa


PERTIKAIAN PENDAPAT
Didalam ketidaktentuan politik hari ini, ramai ahli politik cuba menampilkan diri sebagai wira dengan membawa pelbagai isu yang tidak sepatutnya ditimbulkan pada masa ini. Mereka seolah-olah ingin menunjukkan keprihatinan mereka terhadap nasib melayu sekarang dan cuba menunjukkan kehebatan pemikiran yang tak seberapa.
Ada juga yang cuba mengalihkan perhatian rakyat yang tidak puas hati kepada kepimpinan Pak Lah kepada isu lain, yang paling kerap adalah mempertikaikan teguran Tun Mahathir dan membuka isu lapok semasa pemerintahanya.
Kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri MOHAMED NAZRI AZIZ di Kota Kinabalu tempoh hari, mengatakan bahawa segolongan menteri ‘kurang cerdik’ apabila menyarankan Perdana Menteri berundur. Beliau juga mengatakan bukan semua menteri cerdik. Kata-kata beliau seolah-olah mengatakan bahawa Pak Lah tidak pandai memilih menteri.
Beliau menganggap Pak Lah berada dipersada pentadbiran atas kehendak rakyat apabila rakyat mengundi dan memastikan BN menang pada PRU12 tempoh hari. Ini kerana rakyat tahu jika BN menang, Pak Lah akan jadi PM. Beliau mempertikaikan, apa hak UMNO untuk menafikan hak rakyat yang inginkan Pak Lah sebagai PERDANA MENTERI
Apakah NAZRI AZIZ cuba mempermainkan hati rakyat? Beliau cuba bermain api bila mengeluarkan kenyataan itu. Kesungguhan rakyat untuk memastikan Negara tidak diperintah pembangkang telah dimanipulasikan. Adakah beliau benar-benar mahu melihat kuasa rakyat untuk memilih Perdana Menteri?


KEBEBASAN BERSUARA AHLI UMNO DAN RAKYAT
Apabila rakyat mengundi BN, mereka mengundi Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen BN. Rakyat masih sayangkan kerajaan BN, tetapi tidak semestinya mereka menyokong PM. Sikap setia parti masih tebal dalam diri penyokong-penyokong UMNO, dan sebahagian dari mereka masih melihat LOGO bukan CALON.
PM bukan dipilih semasa pilihan raya dan jika PM boleh dipilih semasa pilihanraya, Tun Mahathir pun tidak akan dapat memerintah selama 22 tahun.
Sesiapa yang menjadi Presiden UMNO akan menjadi PM dan Presiden UMNO sekarang adalah Pak Lah. Beliau bertanding atas tiket UMNO dan Orang-orang UMNO berkempen untuk memastikan BN menang di setiap pilihanraya. Presiden UMNO adalah hak ahli UMNO jadi, mengapa Nazri Aziz sanggup mempertikaikan hak ahli UMNO yang mahukan perubahan. Ahli UMNO juga adalah rakyat Malaysia malahan pendokong wawasan dan perjuangan melayu.
Biarlah mereka menyatakan isihati mereka, tak perlulah perkara ini menjadi pertelagahan. Beliau sendiri mengatakan ini Negara demokrasi, oleh itu suka hati rakyatlah untuk bersuara tentang perkara ini.
Kita perlu melihat perkara ini dari konteks yang berbeza. Pandangan ahli UMNO dari akar umbi hingga ke peringkat Menteri. Apakah menteri yang dilantik oleh PM itu tiada hak untuk bersuara?
Siapa yang memilih Pak Lah sebagai Presiden sedangkan Pak Lah belum pernah bertanding sebagai presiden UMNO. Beliau belum lagi membuktikan beliau adalah pilihan rakyat kerana jawatan itu diterima semasa peralihan kuasa dan bukan dalam pemilihan UMNO. Apabila beliau memegang tampuk pemerintahan, jawatan itu masih tidak dipertandingkan.


LEBIH SUDU DARI KUAH
Pak Lah menjadi PM dan Presiden atas pilihan Tun Mahathir dan sepatutnya beliau menghormati teguran Tun. Apabila banyak perkara yang boleh menyebabkan pergolakkan Negara berlaku, Tun mengambil inisiatif untuk menasihati beliau kerana Tun merasakan tanggungjawabnya untuk menegur Pak Lah( kerana beliau yang melantik Pak Lah sebagai penggantinya)
Tetapi apa yang berlaku sekarang amatlah menyedihkan. Orang-orang di sekeliling Pak Lah yang melebih-lebih, mereka pula yang menghentam Tun. Jika ini berterusan berlaku tanpa ada muafakatan, UMNO akan berkubur kerana rakyat sudah bosan dengan pertelagahan ini.
Jika kita masih inginkan keharmonian dalam parti, tidak perlulah kita berbalas-balas tembakkan sesama kita. Andainya Tun Mahathir masih mengeluarkan kenyataan dan teguran, janganlah cepat melatah. Ambil mana yang baik, kalau tak mahu terima biarkan sahaja ia berlalu. Tak perlu kita bertelagah kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.
Ini bukan masa untuk tuduh-menuduh dan menyalahkan sesama sendiri. Kita perlu menguatkan perpaduan antara parti demi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.


KESUKARAN MENANGANI ISU
PRU12 telah menyebabkan UMNO berperang bersendirian. Samy Vellu, Koh Shu Koon dan M.Kayveas tumpas. Ramai pemimpin dari MCA juga tumbang. Apa dah jadi dengan komponen BN?
Pergolakkan dan isu-isu yang timbul dalam parti komponen telah menyebabkan mereka hilang sokongan dari pengundi-pengundi. Pemimpin parti komponen tidak mengambil tindakan drastik untuk menangani isu-isu tersebut.
Isu seperti video Lingam, Hindraf, skandal seks Chua Soi Lek, perbalahan dua pemipin tertinggi MIC dan beberapa lagi isu yang telah dicanang secara besar-besaran oleh pembangkang. Akhirnya kemarahan dan kekecewaan pengundi cina dan India telah diterjemahkan kepada kekecewaan dan kekalahan besar parti komponen.


ISU BESAR PRU13
Tindakkan kerajaan baru Selangor dibawah pimpinan PKR meluluskan ladang ternakan babi amat mendukacitakan kita. Pembangkang mula menunjukkan belang mereka dengan mengenepikan sensitiviti orang melayu. Segala bantahan dipandang sepi.
Apabila ini berlaku, parti DAP sudah dapat merasa akan kemenangan mereka pada PRU akan datang. DAP akan menggunakan isu ini dengan sebaik-baiknya untuk menarik penggundi cina dengan alasan bahawa mereka boleh memperjuangkan hak orang cina bila mereka memerintah.
Penggundi cina akan beralih arah kepada pembangkang kerana mereka merasakan mereka dapat meminta sesuatu yang selama ini gagal semasa berada didalam pimpinan kerajaan BN.
Jika ladang babi boleh diluluskan, tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan meminta supaya DEB dihapuskan, hak istimewa orang melayu di batalkan dan PERDANA MENTERI juga akan datang dari kalangan mereka. Malahan, kuasa raja-raja Melayu juga akan cuba mereka hapuskan.
Senario ini jika tidak ditangani dengan baik, akan menyebabkan BN kehilangan pengundi cina 100%. Orang-orang cina akan merasakan yang selama ini mereka ditindas oleh orang melayu dan isu inilah antara penyebab BN kehilangan banyak undi pada PRU 12 yang lalu.
DAP memainkan isu perkauman yang cukup kuat, ditambah lagi dengan tindakan MENTERI BESAR SELANGOR tempoh hari akan menyukarkan UMNO untuk meraih sokongan dari pengundi cina.
Kenyataan LIM GUAN ENG untuk menghapuskan DEB tempoh hari merupakan isyarat kepada orang cina, bahawa jika DAP memerintah itulah agenda pertama beliau.

Wahai orang-orang melayu yang sayangkan bangsa dan Negara, insaflah bahawa kita berada diwaktu dan keadaan yang sukar. Masa untuk kita bermegah dan berkhayal telah tamat. Jangan sekalipun kita alpa dan lalai, kerana kemegahan, riak, alpa dan lalai itu akan memberi kesan yang amat pedih kepada anak cucu kita bangsa melayu akan datang.
ingatilah fahamilah dan selamilah lagu WARISAN, anak kecil main api.

Setiap kali kita mahu melelapkan mata dirumah, pandanglah siling dan fikirkanlah……..

RELEVENKAH UMNO dan DIMANAKAH MELAYU
50 TAHUN LAGI



Renung-renungkanlah



anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
airmata darah bercampur keringat
bumi dipijak milik orang
nenek moyang kaya raya
tergadai seluruh harta benda
akibat sengketa sesamalah kita
cinta lenyap diarus zaman

indahnya bumi kita ini
warisan berkurun lamanya
hasil mengalir ketangan yang lain
peribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kita kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Barsatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantaraaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!




klik untuk berita penuh »»